Untuk lebih faham tentang masalah mazhab, ada baiknya kita lihat sejarah mazhab fekah itu sendiri. Bagaimana ia bermula, bagaimana ia berkembang sehinggalah seperti yang kita lihat pada hari ini.
Ilmu fekah telah melalui beberapa peringkat;
- Permulaannya adalah semasa zaman Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam iaitu pada zaman turunnya wahyu; iaitu bagaimana proses ilmu-ilmu fekah, ilmu-ilmu hukum itu turun kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dan diajar kepada para sahabat. Proses ini berterusan 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah.
- Setelah itu datang pula zaman atau peringkat kedua iaitu peringkat Sahabat. Para Sahabat didahului oleh Fuqaha-u Al-Sahabah (ulama-ulama fekah di kalangan para sahabat) yang didahului oleh para sahabat yang banyak meriwayatkan hadis seperti Ibnu ‘Abbas, Ibnu Umar, Ibnu Mas’ud, ‘Aisyah binti Abu Bakar dan lain-lain ulama-ulama yang banyak meriwayatkan hadis. Merekalah yang menjadi rujukan generasi yang datang berikutnya iaitu generasi Tabi’in.
- Generasi Tabi’in mempelajari ilmu agama termasuklah ilmu fekah daripada ulama-ulama fekah dari kalangan para Sahabat.
- Ilmu berkembang ke generasi berikutnya, Tabi’ Al-Tabi’in. Mereka mengembangkan ilmu secara umumnya dan ilmu fekah secara khasnya kepada generasi berikutnya iaitu Atba’ Tabi’ Al-Tabi’in. Pada generasi inilah lahirnya para ulama fekah seperti Abu Hanifah – ulama mazhab Hanafi (80H – 150H), juga ulama mazhab Maliki iaitu Imam Malik bin Anas (93H – 179H), kemudian ulama mazhab Syafi’i iaitu Muhammad bin Idris (150H – 204H), dan yang keempat, Ahmad bin Hanbal (164H – 241H).
Pada zaman generasi Tabi’ Al-Tabi’in ini, ilmu agama terus berkembang dan terus dimantapkan. Ilmu fekah sudah mula disusun dan dibukukan. Namun pada generasi berikutnya sesudah generasi Tabi’ Al-Tabi’in, kajian ilmu fekah mula beralih fokus.
Ketiga-tiga generasi pertama, fokusnya adalah pada Al-Quran dan Sunnah sebagai sumber ilmu fekah. Tetapi pada generasi berikutnya, fokus mula beralih kepada mempelajari mazhab ataupun ilmu yang dibawa oleh ulama yang kita sebutkan tadi, dan hakikatnya ada ulama-ulama yang lain seperti Sufyan Al-Tsauri dan lain-lain cuma ilmu mereka tidak berkembang dan berterusan, sampai satu ketika ia berhenti kerana kurangnya murid-murid yang mengembangkan ilmu mazhab ulama-ulama itu.
Jadi yang terus berkembang adalah ilmu keempat-empat ulama mazhab yang disebutkan tadi. Ia bermula dengan ilmu, tetapi lama kelamaan bertukar menjadi mazhab, satu aliran khusus yang mempunyai kaedah dan prinsip-prinsip yang diikuti.
Fokus mula beralih; dari fokus kepada Al-Quran dan Sunnah kepada fokus kepada mazhab. Kata-kata ulama dalam mazhab itu menjadi sumber utama kepada ilmu fekah yang dibincangkan, manakala dalil dari Al-Quran dan Al-Sunnah seakan-akan diketepikan dan dilupakan.
Pada suatu ketika sampai ke satu tahap di mana kata-kata ulama itu menjadi dalil dan hujjah. Bahkan jangan terkejut kalau kita lihat tidak ada dalil Al-Quran dan Sunnah yang disebut dalam buku-buku fekah mazhab. Apa yang ada semuanya aqwal Ulama (kata-kata Ulama).
Maka beralihlah umat Islam dari ittiba’ kepada Al-Quran dan Sunnah menjadi taqlid kepada mazhab. Pada tiga generasi pertama, keutamaan diberikan kepada ittiba’ Al-Quran dan Sunnah, tetapi pada generasi yang datang berikutnya sehinggalah ke hari ini, ia telah beralih kepada taqlid kepada mazhab (ikut mazhab semata-mata).
Apabila taqlid kepada mazhab menjadi trend, tentulah kejahilan, kejumudan dan ta’assub juga timbul. Apabila masyarakat sudah jahil terhadap Al-Quran dan Al-Sunnah, mereka sudah jumud kepada mazhab yang mereka pilih, datanglah ta’assub (fanatik). Dia akan mempertahankan mazhab sedaya mungkin. Dari situ timbul kebencian, permusuhan, dan perbalahan di kalangan umat Islam. Semuanya berpunca dari taqlid kepada mazhab.